Menuju ke arah
malapetaka?
Kehadapan
rakyat Malaysia,
Keamanan.
Saya
menulis surat terbuka ini kerana saya amat bimbang mengenai dua pola pengundian
yang boleh memberi kesan buruk kepada masa depan negara kita. Yang pertama
adalah satu pola yang berkaitan dengan segmen pengundi Melayu, di kedua-dua
bandar dan luar bandar. Yang kedua adalah satu pola yang berkaitan dengan
segmen masyarakat bukan Melayu. Sekiranya kedua-dua trend ini diperkasakan
melalui Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013, ia boleh menjadi malapetaka
bagi rakyat kita.
Pengundi Melayu.
Segelintir
masyarakat Melayu, yang kecewa dengan persepsi rasuah golongan elit dan jurang
yang semakin melebar di antara golongan kaya dan golongan miskin, menganggap
sebuah Negara Islam berorientasikan hudud sebagai penyelesaian. Mereka harus
bertanya kepada diri mereka soalan-soalan berikut:
Satu, wujudkah mana-mana
negara di dalam dunia kontemporari yang berfungsi sebagai model yang layak
untuk dicontohi? Arab Saudi? Sudan? Afghanistan?
Dua, mengapakah majoriti
negara Islam memilih untuk tidak melaksanakan pentadbiran yang berasaskan
hudud?
Tiga, mengapakah rakyat
di negara Islam yang terbesar di dunia, iaitu Indonesia, menolak parti yang berorientasikan
hudud berkali-kali dalam pilihan raya?
Empat, mengapakah Turki
yang pemerintahnya mempunyai latar belakang parti Islam, mengelak daripada
menggunakan hudud dan sistem perundangan fikah sebaliknya memilih pentadbiran demokratik,
berperlembagaan sekular?
Lima, sekiranya tulang
belakang parti pemerintah di Malaysia sejak tahun 1957 adalah PAS dan bukannya
UMNO, bagaimanakah keadaan sosio-ekonomi orang Melayu pada hari ini? Mungkinkah
kemiskinan dapat dikurangkan daripada 64% kepada 1.7%? Mungkinkah terdapat
perubahan yang luar biasa kepada seluruh rakyat, dikekalkan dalam dua generasi,
yang telah menyebabkan orang Melayu memainkan peranan penting dalam bidang
pendidikan, profesional, perdagangan dan industri, berbanding dengan keadaan
semasa baru mencapai kemerdekaan? Mungkinkah
masyarakat Melayu muncul sebagai salah satu komponen penting di dalam golongan
pertengahan rakyat Malaysia yang tanpa diragui telah membantu menstabilkan
hubungan etnik dan politik di dalam negara dan membenarkan demokrasi untuk
berfungsi?
Seseorang
hanya perlu melihat kepada 22 tahun pemerintahan PAS di Kelantan untuk mendapatkan
idea tentang apakah versi Islamnya dapat dilaksanakan kepada rakyat. Daripada
kegagalan mengecewakan untuk menyediakan pekerjaan bagi puluhan ribu rakyat
Kelantan yang berkelayakan kepada ketidakupayaan mereka untuk membendung gejala
penagihan dadah yang kian meningkat, Kelantan merupakan negeri pertama dan
satu-satunya negeri di dalam Malaysia yang gagal. Pengundi Malaysia sepatutnya
tidak mempunyai ilusi tentang jenis Negara Islam yang diperjuangkan PAS.
Pengundi Bukan Melayu.
Sekiranya
terdapat segelintir masyarakat Melayu yang berilusi dengan konsep Islam PAS, terdapat
lebih ramai lagi masyarakat bukan Melayu, terutamanya sebahagian besar masyarakat
Cina dari kelas pertengahan dan segelintir masyarakat India dari kelas pertengahan
yang hidup di dalam salah faham yang besar tentang apa yang akan dihasilkan
daripada undi mereka. Mereka yakin bahawa undi mereka dapat ‘menghapuskan
diskriminasi etnik’ dan menamatkan ‘Ketuanan Melayu’. Memandangkan mereka yang telah menggerakkan
persepsi ini tidak pernah menerangkan secara terperinci tentang apa yang mereka
maksudkan dengan menghapuskan diskriminasi etnik atau ketuanan Melayu,
masyarakat bukan Melayu yang didedahkan dengan retorik ini telah dibawa kepada
kesimpulan yang berbeza-beza.
Bagi
kebanyakan orang, persepsi mereka adalah Pakatan Rakyat (PR) akan mengenepikan
Kedudukan Istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ini adalah
mustahil untuk dilaksanakan. Artikel di dalam Perlembagaan Malaysia yang
berkaitan dengan penempatan di dalam perkhidmatan awam, lesen, biasiswa dan rizab
tanah (seperti beberapa artikel lain) tidak boleh dipinda atau dihapuskan oleh
Parlimen walaupun PR berjaya memenangi keseluruhan kerusi. Kedudukan Istimewa
adalah dilindungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu.
Secara
terbuka, ketiga-tiga parti didalam PR telah bersetuju mengenai Kedudukan Istimewa.
Walaubagaimanapun, ucapan dan aktiviti sesetengah aktivis DAP dan PKR telah
memberikan gambaran bahawa ia adalah diskriminasi dan oleh itu tidak boleh
diterima. Inilah sebabnya mengapa pemimpin-pemimpin mereka harus jujur dengan
ahli-ahli dan penyokong mereka. Beritahu kebenaran sepenuhnya. Kedudukan Istimewa
atau mana-mana artikel di dalam Perlembagaan mengenai kewarganegaraan, bahasa
dan pemerintah tidak akan berubah walau sedikitpun sekiranya PR mengambil alih
kuasa.
Memandangkan
PR tidak dapat berbuat apa-apa mengenai Kedudukan Istimewa, diskriminasi yang bagaimanakah
dapat dihapuskan? Adakah Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan dihapuskan? Secara
teori, DEB tidak lagi wujud. Ia telah berakhir pada tahun 1990 walaupun salah
satu daripada objektif berkembarnya adalah penyusunan semula masyarakat bagi
mengurangkan pengenalan kaum berdasarkan fungsi di dalam bidang-bidang
tertentu. Melihat kepada sifat objektif ini, ia adalah salah untuk melihatnya
sebagai diskriminasi kaum. Sebaliknya, ia adalah usaha untuk meningkatkan
integrasi kaum.
1Malaysia
Setelah
segalanya dipertimbangkan, kelemahan sebenar DEB adalah berkaitan dengan
perlaksanaanya, ia keterlaluan dan menyalahguna. Ini yang perlu diperbetulkan.
Semenjak empat tahun lepas, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah
membuat percubaan untuk berbuat demikian. Pemberian Biasiswa Persekutuan untuk
pelajar adalah berdasarkan sepenuhnya kepada merit akademik; terdapat usaha
serius untuk meningkatkan bilangan penjawat awam berbangsa Cina dan India; dan
penjawatan mereka di dalam Perkhidmatan Awam telah bertambah baik melalui
beberapa jawatan berprofil tinggi. Dalam masa yang sama, keseluruhan pelaburan
1Malaysia, daripada kedai-kedai runcit kepada rumah mampu milik, adalah bukan
berasaskan etnik. 1Malaysia dalam manifestasi konkrit adalah idea yang
mengetengahkan semua, melibatkan semua. Najib juga memberi tumpuan kepada keperluan
komuniti etnik dan sub-etnik yang berbeza dan melibatkan mereka di peringkat
sosial dan budaya sebagai sebahagian daripada usaha 1Malaysia.
Terdapat
mesej yang jelas yang cuba diketengahkan
beliau. Kefahaman dan empati mestilah wujud di kalangan kita, tidak kira
apa jua perbezaan agama atau budaya. Kita mestilah menghormati antara satu sama
lain.
Menghormati
antara satu sama lain bermaksud kita tidak seharusnya memanipulasikan antara
satu sama lain. Ini adalah apa yang berlaku di dalam episod simbol DAP baru-baru
ini. Walaupun tiada langsung persoalan mengenai samada DAP boleh menggunakan
simbol roketnya sendiri, di dalam drama yang dipentaskan oleh kepimpinan DAP
yang memilih untuk menggunakan simbol PAS, berbanding simbol PKR di
semenanjung. Bukankah ia adalah lebih logik bagi DAP untuk menggunakan simbol
PKR memandangkan DAP mahukan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim, untuk menjadi Perdana
Menteri sekiranya PR memenangi Pilihanraya Umum? Mengapakah mereka memilih
untuk menggunakan simbol parti yang mana matlamatnya adalah untuk mewujudkan
negara Islam berorientasikan hudud yang mereka tentang sekeras-kerasnya? Adakah
disebabkan PAS mempunyai lebih banyak sokongan Melayu di semenanjung berbanding
PKR dan DAP berharap untuk meningkatkan sokongan kepada mereka? Bukankah ini disifatkan
sebagai opportunis?
Bukankah
ini adalah segalanya mengenai penggabungan PAS-DAP-PKR? Satu kumpulan opportunis
berpaksikan kuasa tetapi bertentangan antara satu sama lain? Sekiranya ilusi di
satu pihak, dan salah faham di pihak yang lain, menjadikan penggabungan ini
suatu malapetaka, sikap opportunis ini akan menghasilkan malapetaka yang lebih
besar.
FIKIR
DENGAN TELITI! UNDI SECARA BERHEMAH!
Dengan
ingatan tulus ikhlas,
Dr. Chandra Muzaffar
Presiden,
International
Movement for a JUST World (JUST)
29
April 2013.
No comments:
Post a Comment