Monday, 30 July 2012

PAS AKAN BERSARA DARIPADA POLITIK MALAYSIA......?



Banyak pihak meramalkan hubungan Pas dengan DAP hanya menanti masa retak mencari belah. Sejak penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah antara PAS, Semangat 46 dan BERJASA, pucuk pimpinan PAS seperti NIk Aziz dan Hadi Awang tidak mahu duduk semeja dengan DAP untuk menubuhkan barisan pembangkang menentang UMNO/BN.

Nik Aziz, Hadi Awang dan lain-lain pemimpin  PAS menganggap DAP parti perkauman Cina dan anti-Melayu dan anti Islam. Kononnya,PAS waktu itu memperjuangkan Negara Islam dan pro-Melayu. Dengan demikian, mudahlah PAS bekerjasama dengan Semangat 46 untuk menubuhkan barisan pembangkang.

Sejak  PAS berkuasa di Kelantan atas kerjasama dengan Semangat 46, Nik Aziz, sebagai Menteri Besar, memperlihatkan keangkuhannya hingga menimbulkan perpecahan antara  PAS dengan Semangat 46. Orang Kelantan didongengkan dengan “fatwa” songsang kononnya “undi Pas masuk syurga”.

Selepas 21 tahun menguasai Kelantan, PAS menjadi mabuk kuasa untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam menumbangkan UMNO/BN dalam PRU 13 nanti.

Umum mengetahui ketiga-tiga parti ini mempunyai idelogi yang berlainan.  PAS, walaupun diketahui menyeleweng dari perjuangan Islam, tetap mendabik dada mereka masih parti Islam dan ingin menegakkan Negara Islam dengan hudud sebagai tarikan politik  untuk menipu orang Melayu sepertimana mereka lakukan semenjak  Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990.

PAS juga hendak menipu DAP kononnya mereka tidak lagi berminat menubuhkan Negara Islam. Kononnya mereka sudah bertukar “kiblat” daripada Negara Islam menjadi Negara Kebajikan pula. PAS menganggap tentulah DAP akan menerima baik “transformasi” ideologi daripada Negara Islam kepada Negara Kebajikan sesuai dengan perjuangan DAP untuk melaksanakan Malaysian Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU 13 nanti. Untuk meyakinkan DAP lagi,  PAS juga sanggup menolak ketuanan Melayu seperti PKR juga untuk membuktikan setiakawan antara ketiga-tiga parti pembangkang tersebut.

Malangnya, PAS tidak dapat mempengaruhi DAP bahawa ia tidak berminat lagi memperjuangkan Negara Islam. Berkali-kali DAP, melalui Karpal Singh, berkata DAP tidak akan menerima gagasan Negara Islam ala Pas. “Langkah mayat aku dulu untuk menerima Negara Islam”, demikian Karpal Singh berkata dengan angkuhnya.

Walau pun Nik Aziz berpeluk-pelukan dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, namun dua beranak tersebut tetap menolak gagasan Negara Islam ala  PAS. Ini soal dasar perjuangan DAP yang bertentangan sekali dengan perjuangan PAS yang boleh sorong tarik menurut perubahan iklim politik dan kepentingan. DAP sedar PAS mahu mengemis sokongan kaum Cina untuk memenangkan calon-calonnya kelak sekiranya terdapat calon-calon PAS di kawasan-kawasan campuran antara berbagai kaum.

Lim Kit Siang masih tidak lupa, peristiwa Nik Aziz dan PAS  tidak mahu bekerjasama dengan DAP oleh kerana PAS mendapat Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin Semangat 46 mempunyai banyak pengaruh di Kelantan. Hari ini, Nik Aziz sanggup melondeh serban untuk bekerjasama dalam Pakatan Rakyat kerana Pas mempunyai muslihat politik tertentu iaitu untuk mendapatkan sokongan DAP supaya memberi peluang kepada Pas bertanding di beberapa kawasan campuran berbagai kaum.

Sebenarnya, DAP tidak memerlukan sokongan  PAS pun kerana mereka hanya bertanding di kawasan bandar, yang mana kaum Cina merupakan golongan majoriti. PAS yang terhegeh-hegeh hendak bekerjasama dengan DAP hingga sanggup menghapuskan ketuanan Melayu dan Islam sebagai agama rasmi Negara. PAS seperti 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong' untuk mengemis simpati dan sokongan DAP hingga sanggup memperjudikan bangsa dan agama.

Kini, sudah timbul kegelisahan di kalangan ahli-ahli PAS  bahawa pengaruh parti itu di kalangan Melayu semakin merosot. PAS dianggap sudah menjual agama dan bangsa oleh kerana bernafsu hendak berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR. Banyak mahu PAS kembali menghidupkan semula hudud dan Negara Islam untuk meyakinkan umat Melayu bahawa PAS tidak berganjak mempertahankan Islam dan bangsa Melayu.

Kalau desakan di kalangan para pemimpin dan ahli-ahli PAS semakin lantang untuk kembali menghidupkan hudud dan penubuhan Negara Islam, apakah Nik Aziz dan Hadi Awang akan  patuh pada tuntutan ahli-ahlinya? PAS  semakin serba salah dan caca-marba. Mereka sudah terjebak dalam perangkap Anwar dan DAP yang dianggap anti-Melayu, anti-Islam dan Raja Melayu.


Apakah orang Melayu akan kembali menyokong PAS? Tidak mungkin. PAS sudah jauh menyeleweng daripada perjuangan Islam sejak Nik Aziz dan Hadi Awang menguasai parti itu. Kini, mereka dianggap sebagai alat kepada DAP dan PKR. Sekiranya PAS bertindak keluar daripada Pakatan Rakyat sebelum PRU 13, besar kemungkinan PAS tidak akan dapat menambahkan kerusi Dewan Undangan Negeri mahu pun Parlimen seperti sekarang. Banyak pemerhati politik meramalkan PAS hilang kuasa di Kelantan yang menjadi kubu kuatnya sejak Nik Aziz menjadi Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment