Obama muncul calon Democrat yang kedua yang berjaya menang untuk satu penggal lagi di White House sejak Perang Dunia II apabila dirinya menghadapi tentangan sengit daripada Romney. 

Pada ketika negeri atas pagar termasuk Florida dan Virgina masih belum diumumkan, Obama sudah meraih 275 undi perwakilan, melebihi 270 yang diperlukan untuk kekal di White House dan hampir mencatat kemenangan selesa.

Bunga api kelihatan pada majlis meraikan kemenangan Obama di Chicago apabila presiden pertama kulit hitam yang dipilih selepas menjanjikan gelombang harapan dan keinginan rakyat AS pada empat tahun lalu, mendapat mandat empat tahun lagi untuk mendiami White House.

Sekutu Romney meramalkan gelombang saat akhir calon itu boleh menghanyutkan pengaruh Obama selepas penggal pertamanya dihimpit pemulihan krisis ekonomi paling teruk sejak 1930-an dan kadar pengangguran yang tinggi. - AFP