Thursday 18 April 2013

TARIKH MENGUNDI PRU 13 : POLIS PUN PESAN NI......


POLIS BERI AMARAN KEPADA KUMPULAN MAHU JELAJAH KAMPUNG BAWA DAKWAT

KANGAR, 17 April 2013 : Polis memberi amaran kepada beberapa kumpulan yang DIPERCAYAI bercadang menjelajah pelusuk negara ini untuk MENCALIT DAKWAT KEKAL kepada pengundi bagi mewujudkan keadaan tegang semasa PRU 13 nanti.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata walaupun kes seumpama itu belum dilaporkan berlaku namun perbuatan itu adalah sesuatu yang serius dan boleh mendatangkan kekecohan pada hari mengundi. "Kita ada terima laporan daripada pihak tertentu mengenai perkara itu dan telah mengenalpasti kumpulan itu, saya minta kumpulan itu supaya jangan melakukan perkara yang boleh mencetuskan huru-hara," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat kawalan PRU13 IPK Perlis.
Turut hadir juga ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan yang juga Pegawai Pemantau Penugasan PRU13 untuk Negeri Kedah dan Perlis serta Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron.
Beliau juga menasihati pengundi supaya JANGAN MEMPERCAYAI DAN MEMBENARKAN mana-mana individu YANG INGIN MENCALIT DAKWAT KEKAL kerana dakwat itu hanya akan dicalit pada hari mengundi sahaja.
Sementara itu Khalid berkata polis Perlis telah mengenalpasti 24 kawasan panas sekitar negeri ini antaranya Beseri, Padang Besar dan Arau.
"Bukan bermaksud akan berlaku kekecohan di kawasan itu tetapi daripada segi konteks calon yang bertanding merupakan mereka yang hebat dan berkemungkinan mencetus suasana panas semasa berkempen," katanya.
Sehubungan itu, Khalid meminta seluruh pengundi di Perlis menjalani tempoh berkempen secara berhemah dan tidak menimbulkan kekacauan.
Khalid berkata proses pilihanraya yang berlangsung hanya empat atau lima tahun sekali ini seharusnya digunakan sebaik-baiknya untuk mewujudkan kemesraan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama bagi mewujudkan sebuah negara yang rakyatnya hidup harmoni.
Beliau berkata polis Perlis juga telah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan sebarang ancaman yang berkemungkinan berlaku di negeri yang mempunyai 3 kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri itu.
-BERNAMA

No comments:

Post a Comment