Tuesday 7 January 2014

MENGAPA, KENAPA DAN APA........


Isu 'bughah' yang telah dibangkitkan oleh Sahibus Samahah Tan Sri Dr. Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak, sebagai membidas peserta perhimpunan haram pada sambutan ambang Tahun Baru 2014 terus dipolemikkan apabila kenyataan tokoh agama itu dikecam pelbagai pihak.

Segelintir pihak menyifatkan ‘fatwa’ itu sebagai menyesatkan dan boleh menimbulkan huru-hara kerana menghalalkan darah golongan berkenaan. Dalam merungkai isu ini, beliau tampil semalam untuk memberikan penjelasan. Berikut merupakan kenyataan penuh beliau: 


Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian (BH) dan portal 'Malaysiakini' yang bertarikh pada 2 Januari 2014, telah menyatakan Perhimpunan Haram di Dataran Merdeka ‘Penderhaka’, peserta perhimpunan sebagai ‘Bughah’ iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil. Sementara di halaman 10 akhbar BH ditulis pernyataan ‘.....sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan daripada hukum syarak dihalalkan golongan bughah’. Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu ‘bughah’ dan demonstrasi.

Selain itu, di Kota Bharu, Sahibus Samahah Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Mufti Negeri Kelantan turut memperjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Harussani bukan bermaksud menuduh tetapi bersifat memberi contoh dengan situasi yang berlaku di Himpunan Turun pada malam ambang tahun baru minggu lalu.

Beliau berkata, situasi di himpunan itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkataan bughah dalam istilah feqah namun boleh digunakan bertujuan memberi tauladan dan contoh.

Beliau pendapat perkara itu hanyalah contoh dan bukan menuduh sementelah tugas sebagai mufti adalah untuk memberitahu tentang apa yang terkandung dalam ajaran Islam, tentang fatwa, nasihat dan penjelasan mengenai perkara-perkara yang boleh mendatangkan salah faham.

Beliau juga berpendirian sekiranya mereka iaitu peserta berasa tidak tergolong dalam contoh yang dinyatakan, maka mereka tidak perlu marah atau terasa hati dengan kenyataan itu kerana kalau  keluar beramai-ramai tanpa mendatangkan kemudaratan kepada orang lain dan itu tidak menjadi masalah tetapi hakikatnya kenyataan Harussani itu sebenarnya dipolemikkan golongan tertentu.

Menurut Shukri juga, Harussani telah memberikan contoh supaya masyarakat Islam yang menyertai himpunan itu sedar bahawa apa yang dilakukan itu boleh mendatangkan berbagai-bagai masalah.

Beliau turut memberi contoh di negara-negara bergolak lain turut mengharamkan himpunan dan demonstrasi yang boleh mengakibatkan kemudaratan kerana akhirnya akan melibatkan kematian.

Beliau juga menjelaskan realiti yang berlaku baru-baru ini tidak seteruk negara luar, sebagaimana dalam feqah, tetapi 'guling' dalam istilah syarak adalah dilarang, yang mana boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai.

Akhirnya, beliau menyatakan sekiranya tunjuk perasaan secara aman adalah tidak menjadi masalah, namun kini apa yang dapat dilihat, masyarakat kurang kefahaman dan kurang kepercayaan kepada institusi fatwa dan ulama, sehingga perkara-perkara seperti ini boleh timbul dan pelbagai pertikaian daripada pihak-pihak tertentu yang menjadi salah satu cabaran yang perlu dihadapi sekarang.

No comments:

Post a Comment